SHAH ALAM: Pihak berkuasa agama telah mewajibkan semua pendakwah dan penceramah di Malaysia untuk mendapatkan tauliah mengajar sebelum dibenarkan untuk mengajar atau berceramah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, jika didapati pendakwah tersebut menimbulkan isu yang mengelirukan masyarakat maka mereka akan dipanggil untuk diberi peringatan.

“Seterusnya, pihak berkuasa agama boleh mengambil tindakan terhadap pendakwah tersebut dengan menarik semula tauliah mengajar sekiranya gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Bagaimanapun, sekiranya didapati pendakwah itu tiada tauliah mengajar, tindakan undang-undang boleh dikenakan di bawah Akta atau Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian susulan menjawab persoalan yang dikemukakan oleh Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) berhubung sikap kerajaan terhadap beberapa agamawan yang sering mempertikaikan kewibawaan ulama seperti Imam Shafie, Imam Ghazali dan sebagainya.

Mengulas lanjut, Mohd Na’im menjelaskan bahawa kerajaan menyedari tentang wujud pihak yang lantang mempertikaikan kewibawaan para ulama khasnya di media sosial kerana perbezaan pandangan dan pendapat dalam sesuatu masalah furu’ (cabang).

“Kerajaan memandang serius terhadap beberapa agamawan dilihat sering mempertikaikan kewibawaan ulama muktabar yang boleh mencetuskan polemik dan menimbulkan perpecahan dalam kalangan masyarakat.

“Sungguhpun Islam mengiktiraf kebebasan bersuara dan kebebasan mengemukakan pandangan tetapi ia bukanya secara mutlak. Ia perlu berlaku dalam lingkaran yang dibenarkan dengan meraikan adab dan kerangka disiplin ilmu tertentu,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa agar semua pendakwah berhikmah di dalam menyampaikan dakwah dan pihak Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) telah membangunkan Garis Panduan Kod Etika Berdakwah berkaitan perbandingan agama.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian