Orang ramai menyertai pertandingan Dam Aji sempena Program Rumpun Selangor D’ Desa Daerah Hulu Langat di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Dusun Tua, Hulu Langat pada 11 November 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Jelajah Perpaduan Rumpun Selangor ke seluruh negeri bulan depan, semarak semangat perpaduan

SHAH ALAM, 11 JAN: Jelajah Perpaduan Rumpun Selangor akan menjelajah ke seluruh negeri mulai Februari ini, kata EXCO Perpaduan.

Datuk Rizam Ismail berkata program tiga hari dua malam di setiap lokasi itu dimulakan di Hulu Selangor dan dijangka berakhir November hadapan.

“Kita akan mulakan Februari ini di Hulu Selangor. Antara pengisian yang akan dibuat adalah sukaneka rakyat, persembahan kebudayaan dan lawatan ke pusat kraftangan.

“Kita bertuah kerana Dato’ Menteri Besar dan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor turut berkenan berangkat ke setiap program ini,” katanya kepada Selangorkini.

Pada November lalu, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Gagasan Rumpun Selangor bagi meraikan kepelbagaian dan menyemarak semangat perpaduan itu akan diadakan di sembilan daerah dengan peruntukan RM4.5 juta.

Sementara itu, Rizam menyasar untuk memperkasa kepimpinan setiap kampung menerusi pelaksanaan sistem penyusunan semula.

Menurutnya, sudah tiba masanya setiap desa diperkasa bagi menonjolkan kelebihan ekonomi tempatan selain menarik kehadiran pelancong sebagai persediaan Tahun Melawat Selangor 2025.

“Saya bercadang memperkasa peranan ketua kampung dan melakukan penyusunan semula pimpinan dalam setiap kampung. Kita juga akan perbanyakkan majlis perpaduan selepas ini,” katanya.

Pada pembentangan Belanjawan Selangor 2024, Kerajaan Negeri memperuntuk RM4 juta bagi menjalankan projek pembangunan desa serta ekonomi kampung tradisi.


Pengarang :