Malaysia perlu 500, 000 saintis

Malaysia perlu 500, 000 saintis

PROF DATUK DR NORAINI IDRIS dan PROF MADYA DR LAILI CHE ROSE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Negara perlukan lebih 500,000 saintis pada masa akan datang berbanding sekarang hanya ada 70,000 orang

Pengarah Pusat Asasi STEM Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof. Madya Dr Laili Che Rose berkata jumlah pelajar yang semakin berkurangan dalam memasuki bidang aliran sains dalam negara ini menimbulkan kebimbangan terhadap kekurangan ahli penyelidikan atau saintis pada masa depan.

Dalam pada itu Presiden dan Pengasas, Pusat STEM di Universiti Malaya, Profesor Emeritus Datuk Dr Noraini Idris berkata, semua pihak tidak perlu menuding jari dan mempersalahkan pilihan pelajar yang memilih bidang bukan sains.

Katanya, infrastruktur yang masih kurang memuaskan terutamanya di sekolah-sekolah luar bandar harus diambil kira dan mungkin boleh menjadi punca mematikan minat pelajar.

“Selain itu, kita kena persoalkan cara penyampaian pembelajaran itu, termasuk keupayaan internet lemah dan makmal yang tidak lengkap di sekolah.

“Itu sebab semua kementerian yang berkaitan dengan perkara ini harus membincangkan perkara ini bersama-sama,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Tambah beliau, keadaan perindustrian dalam negara pada ketika ini masih ketinggalan jauh di belakang berbanding negara lain.

“Jadi apa yang kita perlu sekarang ini mengubah teknik pelajaran dan menyediakan infrastruktur yang baik kepada pelajar.

“Kita juga kena lihat kurikulum yang disediakan sama ada ianya sesuai atau tidak dengan revolusi terhadap industri sekarang,”katanya.

Dalam pada itu, beliau tidak bersetuju apabila ditanya jika subjek matematik dan sains dijadikan  wajib subjek lulus dalam peperiksaan awam suatu hari nanti bagi memperbanyakkan lagi pelajar untuk meminati bidang sains.

Kata beliau, ianya tidak boleh dilaksanakan kerana pada masa kini pendidikan negara masih bermasalah dalam pencapaian.

Justeru, katanya walaupun jika diwajibkan lulus subjek berkenaan, beliau yakin ramai pelajar akan gagal dalam mata pelajaran itu kerana tertekan.

Sehubungan itu, beliau menyarankan agar warga pendidik perlu dilatih semula kemahiran dan subjek yang diambil mereka agar mereka betul-betul menguasai kemahiran mata pelajaran aliran sains.

Baru-baru ini, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Arthur Kurup berkata, minat pelajar dalam negara ini terhadap bidang sains menurun kepada 40 peratus pada tahun lalu.

Menurut Arthur Kurup, antara faktor utama kemasukan rendah dalam aliran sains adalah kerana pelajar lebih berminat terhadap bidang bukan berteraskan sains. 

Mei lepas, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Kementerian Pendidikan segera menubuhkan pasukan khas mencari jalan bagi menyuntik kembali minat pelajar terhadap dalam bidang sains dan teknologi. 

Langkah itu, kata Perdana Menteri, selepas beliau meneliti kajian yang mendapati minat terhadap bidang terbabit semakin merosot, khususnya dalam kalangan pelajar di luar bandar serta dari keluarga miskin bandar.

Bagaimanapun, tiada perkembangan lanjut berhubung penubuhan pasukan khas berkenaan. 

Pengurusan sekolah  dan guru juga boleh menggunakan segala sumber yang ada di sekolah itu dalam menjayakan minat pelajar terhadap bidang sains.

“Contoh kalau sekolah dekat dengan sungai, buat cara dekat dengan sungai…mungkin aktiviti sains di sungai. 

“Gunakan kreativiti dan kebijaksanaan masing-masing untuk disesuaikan dengan sumber yang ada kreativiti,” katanya. 

Justeru, katanya, minat pelajar terhadap bidang sains perlu diberi perhatian kerana situasi ini merupakan satu perkara yang membimbangkan. 

Katanya, ini kerana keperluan dalam bidang STEM pada masa ini sangat tinggi dan Malaysia juga sedang bergerak ke arah negara industri teknologi. 

“Jadi, nak tak nak, kena cari jalan supaya pelajar minat. Pokok pangkal memang guru juga berperanan besar dan selepas itu baru lah ibu bapa. 

“Banyakkan aktiviti dalam makmal sains sebab mentaliti budak ini suka bermain, jadi aplikasi subjek sains kepada main dalam eksperimen. 

“Sekolah luar negara pun sudah lebih kepada fun-learning dan sebab itu boleh maju,” katanya.  –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya