KPKT bertindak tegas isu bilik 'sangkar burung'

Kor Ming (kiri) menunjukkan akhbar Sinar Harian pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah bagi Projek Pembinaan Pasar Sementara Pasir Pinji di Padang Kilat, Pasir Pinji hari ini. Foto Bernama
Kor Ming (kiri) menunjukkan akhbar Sinar Harian pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah bagi Projek Pembinaan Pasar Sementara Pasir Pinji di Padang Kilat, Pasir Pinji hari ini. Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik premis yang menyediakan bilik 'sangkar burung' jika gagal mengubah kembali kepada bentuk asal premis berkenaan.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, perkara tersebut amat serius kerana pengubahsuaian tersebut mengundang risiko kesihatan mental dan keselamatan jika berlaku kebakaran.

Menurutnya, tindakan segelintir pemilik membuat ubah suai ruang di dalam rumah sehingga menjadi amat sempit, tidak kondusif, malah sesetengahnya tidak berperikemanusiaan.

"KPKT mengambil pendirian tegas dan memberi amaran kepada semua pemilik rumah yang telah melakukan ubahsuai tanpa kebenaran dari PBT (pihak berkuasa tempatan) untuk mengubah semula kepada bentuk asal atau tindakan tegas akan diambil.

"KPKT dengan kerjasama PBT, serta agensi-agensi terbabit akan memantau secara aktif keadaan ini dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar peraturan," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Pasar Sementara Pasir Pinji di sini pada Ahad.

Kor Ming berkata, tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 79, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 di mana di bawah undang-undang tersebut, PBT antaranya diberi kuasa untuk meruntuhkan binaan tersebut dan segala kos ditanggung pemilik premis.

Tambahnya, selain itu denda tidak melebihi RM500 dan juga denda tambahan tidak melebihi RM100 setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

"Saya rasa terpanggil untuk memberikan amaran dulu, sekiranya masih ada lagi pihak yang gagal mematuhi undang-undang maka mereka tidak boleh salahkan kepada kerajaan.

Artikel Berkaitan:

"Sekiranya nak buat pengubahsuaian sila mohon kepada PBT dan bukan membuat partition yang berlebihan ataupun keterlaluan sehingga membahayakan nyawa-penyewa," katanya.

Beliau berkata, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) juga turut memandang serius mengenai isu tersebut.

Sementara itu, Kor Ming menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai bilik 'sangkar burung' itu boleh melaporkan menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SiSPAA) atau aplikasi i-Tegur.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan wujud bilik sewa kapsul seperti 'sangkar burung' yang hanya memuatkan sebuah tilam dengan sewa RM300 sebulan.

Bilik sewa yang turut mengabaikan aspek keselesaan dan keselamatan itu semakin bercambah ekoran sikap pemilik rumah yang mahu mengaut keuntungan berlipat ganda.

INFO

AKTA JALAN, PARIT DAN BANGUNAN 1974 (AKTA 133)

SEKSYEN 79

79. Membina petak, galeri, loteng dan sebagainya dalam bangunan

(1) Tiada seorang pun boleh mendiri atau mengarah atau membenar didirikan dalam sesuatu bangunan apa-apa sekatan, petak, galeri, loteng, bumbung, siling atau binaan lain

tanpa mendapat kebenaran bertulis terlebih dahulu daripada pihak berkuasa tempatan.

(2) Dalam tiap-tiap hal yang tersebut itu pemunyanya hendaklah dianggap sebagai telah memulakan atau menjalankan kerja mendirikan itu sehingga dibuktikan sebaliknya.

Pihak berkuasa tempatan boleh memindah sekatan, dsb.

(3) Pihak berkuasa tempatan, ejen atau perkhidmatannya boleh memasuki mana-mana bangunan itu dan memindahkan apa-apa sekatan, petak, galeri, loteng, bumbung, siling atau binaan lain yang telah didirikan tanpa mendapat kebenaran bertulis terlebih dahulu daripada pihak berkuasa tempatan dan dalam hal yang demikian orang yang telah mendirikannya tanpa kebenaran itu atau jika orang yang telah mendirikan tanpa kebenaran itu tidak diketahui atau tidak dapat dicari atau walaupun dapat dicari dia tidak berupaya membayar belanja yang dilakukan, pemunya itu hendaklah membayar kepada pihak berkuasa tempatan kos dan belanja bagi-

(i) meruntuhkan binaan itu;

(ii) memindahkan harta alih yang terdapat dalam bangunan itu mengikut suatu kadar yang boleh ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan bagi tiap-tiap perjalanan yang dibuat oleh wagon atau kereta pengangkut bagi maksud memindah dan menyimpan harta itu;

(iii) menyimpan harta alih mengikut suatu kadar yang boleh ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan jika harta itu tidak dituntut pada hari ia dipindahkan itu;

(v) apa-apa aktiviti lain yang bersampingan dengan atau yang timbul daripada perenggan (i), (ii) dan (in), dan pemunya hendaklah disifatkan sebagai telah menanggung rugi pihak berkuasa tempatan terhadap apa-apa tuntutan, ganti rosak, kerugian, tindakan atau prosiding yang mungkin dibawa terhadap pihak berkuasa tempatan termasuk apa-apa kos dan belanja yang timbul daripada dan bersampingan dengan perenggan (i), (ii), (iii) dan (iv).

(4) Tanpa menyentuh subseksyen (3) mana-mana orang yang melanggar subseksyen (1) boleh apabila disabitkan didenda tidak melebihi lima ratus ringgit dan juga boleh didenda tambahan tidak melebihi satu ratus ringgit bagi tiap-tiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.